Saturday 2 July 2011

buih dan gelombang

kelihatannya panjang, jalan cuma sedikit
tapi sudah sampai
butir-butir putih, nampak keras
tetapi bila dipijak,
alirnya di celah jari-jari kaki

tinggal kesan tapak,
lompong tapi tak dalam,
lohong tapi tak terbiar
bila gelombang menghempas
lompong jadi hilang
lohong jadi terang

gelombang,
dari jauh nampaknya deras, kasar, kejam
desirnya, dari jauh bikin hati tak keruan,
jadi marah, jadi sayang
gelombang
bila sampai ke kaki jadi buih
buih biasa-biasa sahaja

buih tak bermakna

buih banyak, tapi tidak bermakna
sekali tersentuh, dia ghaib
hilang, kitar riwayat tertutup sudah
mudahnya buih menyerah kalah

kita buih di gelombang
kita buih di arus perdana
kita sesat dan mencari pemimpin-
gelombang?

layakkah sang gelombang memimpin?
arus deras, bergerak tangkas,
sudahnya, kita juga bersendirian
sesat dalam kegembiraan,
hilang dalam kegirangan
pupus dalam kesenangan

kita buih,
banyak, putih, cantik berbisik sesekali berdesir,
namun di balik celahan pasir,
kita hilang ditenggelamkan sang gelombang kita sendiri.
tak berbunyi,
hilang tanpa dikesan lagi.


catatan: tidak guna jika kita ramai dan bersatu tapi kita semua tidak berkualiti. macam buih di lautan, sekali berlabuh di pantai, hilang dalam kewujudan sang gelombang

2 comments:

  1. orang ingat sang gelombang adalah pemimpin yang baik, kerana sifatnya kuat, defensif dan kukuh. tapi bila sampai ke lembah pantai, gelombang hilang diserap sunyi, yang tinggal cuma buih-buih kecil, tamat riwayat di celah-celah kaki manusia sendiri.

    ReplyDelete