Monday 18 July 2011

abah

entah sempat atau tidak menjamah puding roti air tangan bonda
lalu sesak
dada seakan berombak
dunia umpama hilang dalam bayang-bayang,
putus tali, layang-layang hilang arah tujuan

saat itu aku masih berlagak biasa, nada bersahaja,
tidak mengerti bahawa ini perhentian terakhir
saat alunan firman Tuhan memenuhi atmosfera
aku duduk termangu merenung pekat malam angkasa

dijemput sudah,
tak nampak tapi tinggal kesan,
tinggal hiba, tinggal pesan,
tinggal cinta, tinggal sayang,

moga kau dijemput dengan rasa kasih dan sayang
moga kau tiada rasa derita seperti orang yang ditinggalkan
moga kau senyum saat bulan bertemu bintang

hari yang pedih, perit.
jatuhnya dalam lohong kegelapan yang dalam
tak siapa yang mampu menggapai capaian jari-jari insan.
saat kau pergi
kami lepaskan
walau kau tak kembali,
kami merelakan.

apa khabarmu di sana?
jemputlah aku di pintu syurga,
abah.

No comments:

Post a Comment