Saturday 30 July 2011

kasturi syurga

hanyut dalam kederasan noda
akal dihulur tapi tak tersambut
malaikat pimpinlah tanganku bawa kemana sahaja
ke dunia jika bukan ke syurga
aku tidak berdaya saat bara ini menghitung kira untuk hinggap di sini-sana

bawaku terbang dengan sayap-sayap mu ke bulan bintang
menerawang jauh tidak ke petala terlarang
asal aku hilang dari segala tanggungan

peluklah, lindungi daku
bila bulan ketawa menyindir dan hujan pun turun meminggir
aku kebasahan dalam perhentian penuh persinggahan
pimpin aku ke jalan damai nun jauh di sana

walau susah perit bahu memasak dosa
aku juga kepingin untuk mencium kasturi syurga
lekas,
bawalah aku terbang kesana...

Thursday 28 July 2011

darah dendam

jika berkesempatan
aku ingin merodok tembus batang tubuhmu dengan bilah paling tajam binaan dari besi paling perkasa
dan aku biarkan darahmu tidak terpancut
sekadar mengalir deras mengikut alur sakaratul maut

pasti aku akan kumpulkan secangkir darah hanyir yang mengalir saat kau mengesak memohon belas kemanusiaan
lalu darah mu kuteguk dalam
rasa hangat bagai dendam
mabuk, bagai syurga terbang melayang

aku pasti kempunan jasad hidupmu berlegar di ruang dunia
kau kuhunus dengan seksa paling dahsyat tak tercapai pemikiran manusia
baru kau mengerti
betapa gegar gempitanya amarahku dalam hati

kau jangan berlagak biasa
senyummu paling hina pernah tercipta
jelek
kau jelek bagiku

malam ini
jangan ditanya mengapa aku punya rasa benci
cukup sekadar engkau sedar diri
yang sebentar lagi, kau pasti tak bernyawa lagi
inderaku akan bermandikan roh mu
bakal bersaksi bahawa kau pergi dengan lirikan senyumku di pipi

harga sebuah dendam,
tidak akan pernah dapat kau hitung

biar ku gadai harga kebebasan sendiri
asal kau keras hitam, lebam, tidak bernyawa lagi

Friday 22 July 2011

sinar galaktika

habis kering lautan tinta belum pun cukup menulis gulungan wahyu
lebarnya tak berpenjuru
asal dari yang satu

di sisi angkasa kita umpama debu berhamburan di galaktika
merah jingga supernova alirnya debu-debu nyawa, tunjuk kuasa
putar yang tanpa di pasak roda
bergantungan geraknya tanpa utas-utas sambungan

kembara jauh keluar atmosfera menuju ke gelap ruang mega
walau berjuta tahun cahaya melewati sisi dengan sedikit bekal rekaan sendiri
sungguh, tidak mampu engkau sampai menginjak ke sidratul muntaha, biar kembara bersama NASA

dari dada ruang angaksa kita zarah dalam zarah seni, halus dan hampir pupus
saat lahirnya bintang bak kelopak mawar merah dioles,
nuansa percikannya membuih gelombang umpama asuhan Monet pada kanvasnya
sunyi diulit sepi,
gegar diselimut sunyi

pada sisi angkasa
pencaknya halus, diam dan tenang
aturnya bagai dirancang, tembungnya sudah dicanang

bila jasad-jasad mega di angkasa berantakan
saat paksi tak lagi memasak,
tika itu sang suria amuk kemegahan
sinar panas membahang,
bintang-bintang bergantungan putus dari ikatan halimunan

tika angkasa ini dugulung umpama lembaran kertas,
jadi saksi
masa sudah terhenti
perjalanan sudah habis di sini
dunia telah berakhir
berteriakan
berhamburan
tempik lolong
hingar bingar
sesal yang tak berkesudahan

dari sisi angkasa
dunia jadi bongkah kecil,
letup,
Kaabah sudah diangkat ke langit,

gunung jadi pasak kini lesap
lautan tinta kini tersejap
saat kita leka mendabik dada
di sisi angkasa kita sekadar noktah gelap di sinar galaktika

tinta sudah kering, lautan sudah habis
hai manusia,
kau takkan pernah mampu mencabar wahyu tuhan
walau kau berjalan,menongkat langit
kaki mu tetap ditarik graviti ke bumi
sujud sembahmu tetap pada Ilahi

walau kamu di puncak dunia
di sisi angkasa kau entah siapa-siapa
sekadar coretan titik tinta
sekadar figura dipuja manusia
kamu lupa pada pencipta
ego dengan dunia
bangga dengan posesi,
lupa pada posisi

saat gulungan langit yang kau puja disimpul mati,
barulah kau akan mengerti

semua ilmu Illahi tidak akan dapat engkau miliki

Monday 18 July 2011

abah

entah sempat atau tidak menjamah puding roti air tangan bonda
lalu sesak
dada seakan berombak
dunia umpama hilang dalam bayang-bayang,
putus tali, layang-layang hilang arah tujuan

saat itu aku masih berlagak biasa, nada bersahaja,
tidak mengerti bahawa ini perhentian terakhir
saat alunan firman Tuhan memenuhi atmosfera
aku duduk termangu merenung pekat malam angkasa

dijemput sudah,
tak nampak tapi tinggal kesan,
tinggal hiba, tinggal pesan,
tinggal cinta, tinggal sayang,

moga kau dijemput dengan rasa kasih dan sayang
moga kau tiada rasa derita seperti orang yang ditinggalkan
moga kau senyum saat bulan bertemu bintang

hari yang pedih, perit.
jatuhnya dalam lohong kegelapan yang dalam
tak siapa yang mampu menggapai capaian jari-jari insan.
saat kau pergi
kami lepaskan
walau kau tak kembali,
kami merelakan.

apa khabarmu di sana?
jemputlah aku di pintu syurga,
abah.

Tuesday 12 July 2011

refleksi

bila tanah tumpah darah gegar gempita dengan panji kebebasan,
ku ludah ke langit,
ternyata
jatuh ke muka sendiri

Monday 4 July 2011

pejuang

lantas bila picu ditarik
meletup
dia jadi tersejat
umpama kepulan asap dari bahang neraka
cebisan daging, hancur lumat
umpama diratah, darah leleh jadi terpercik

yang diikat di badan, jangan diusik, nanti meletup.
letupannya membunuh jiwa di persekitaran
saat iblis menepuk bahu, membisik kata pujangga,
pujangga yang siti hawa pun tergoda, inikan pula manusia biasa

maka letupan kuat itu membunuh manusia di sekitarnya.
dendam sudah berbalas.
iblis sudah berteriakan senang

kau kata mahu berjihad
mereka laknatullah, kau ulang seribu kali panji yang sama
lalu bila kau melihat sengsara, hati jadi ranting yang rentung
kering dan mati

jangan,
jangan ditarik picu bom di badanmu
adakah kau fikir bidadari dari syurga sedang memanggil?
layakkah untukmu gelaran para syuhada?

bila sudah terlambat,
dendam yang tertunas sudah terlunas,
bau hanyir darah menusuk ke atmosfera
kau tunduk pada iblis
yang kini mengilai di puncak tertinggi dalam neraka

kau beri peluang
untuk mereka terus percaya pada islamophobia

walau kau sudah tiada, jejak, kesan tinggalanmu
masih terus menjadi bual bicara
sedang kau, apalah nasibmu di alam sana
amankah jasad ukhrawimu ditimbang-tara?

ah, siap siaga!

tak semanis marshmallow

ruyung sudah pecah,
bertaburan
tadi pecah kerana terhantuk, bukan disengajakan

tapi engkau terlalu malas mengutipnya
tidak ku suruh mengutip kepingan ruyung,
nanti berdarah, engkau sendiri yang merana

tapi engkau terlalu malas
mungkin juga penakut
atau lemas dalam hedonisma
engkau buta dan membutakan
engkau sesat dan menyesatkan
engkau leka dan melekakan
tapi engkau seronok dan menyeronokkan

kutiplah kepingan ruyung dengan iman
biar pecah, tampallah
biar buruk, cucilah,
biar busuk, wangikanlah

dulu, saat engkau tergoda dengan dunia
kau membiarkan
kau merelakan
katamu aku ketinggalan
kataku kau kelemasan
kau mampu senyum saat dunia dalam tangisan
tanpa sedar kau sudah hilang dari kewujudan seorang insan

pulanglah, pangkal jalan masih menanti,

sebab ruyung sudah dipecahkan
sagu pun melimpah
kutip sahaja
kerana walau sagu tak semanis marshmallow,
itu sahajalah yang engkau ada

Saturday 2 July 2011

buih dan gelombang

kelihatannya panjang, jalan cuma sedikit
tapi sudah sampai
butir-butir putih, nampak keras
tetapi bila dipijak,
alirnya di celah jari-jari kaki

tinggal kesan tapak,
lompong tapi tak dalam,
lohong tapi tak terbiar
bila gelombang menghempas
lompong jadi hilang
lohong jadi terang

gelombang,
dari jauh nampaknya deras, kasar, kejam
desirnya, dari jauh bikin hati tak keruan,
jadi marah, jadi sayang
gelombang
bila sampai ke kaki jadi buih
buih biasa-biasa sahaja

buih tak bermakna

buih banyak, tapi tidak bermakna
sekali tersentuh, dia ghaib
hilang, kitar riwayat tertutup sudah
mudahnya buih menyerah kalah

kita buih di gelombang
kita buih di arus perdana
kita sesat dan mencari pemimpin-
gelombang?

layakkah sang gelombang memimpin?
arus deras, bergerak tangkas,
sudahnya, kita juga bersendirian
sesat dalam kegembiraan,
hilang dalam kegirangan
pupus dalam kesenangan

kita buih,
banyak, putih, cantik berbisik sesekali berdesir,
namun di balik celahan pasir,
kita hilang ditenggelamkan sang gelombang kita sendiri.
tak berbunyi,
hilang tanpa dikesan lagi.


catatan: tidak guna jika kita ramai dan bersatu tapi kita semua tidak berkualiti. macam buih di lautan, sekali berlabuh di pantai, hilang dalam kewujudan sang gelombang